Sesuatu yang menarik dapat dilihat dengan semangat yang ditunjukkan oleh pemain negara di dalam pusingan akhir yang pertama di Stadium Bukit Jalil pada 26hb yang lepas. Sebagai seorang yang sering berulang-alik antara Malaysia dan Indonesia, saya melihat sesuatu yang hebat yang wajar diambil sebagai hikmah.

Selepas menewaskan Malaysia 5-1 di pusingan awal, TimNas Indonesia lagaknya seperti burung Garuda terus terbang tinggi dan tak pernah menoleh ke bawah lagi. Satu demi satu pasukan lawan disambar dan ditewaskan. Malah mereka mengatakan bahawa Malaysia bukanlah saingan sebenar mereka.  Malah berdasarkan rekod, Malaysia tidak pernah mengalahkan Indonesia sejak tahun 1996 lagi. Justeru, kekuatan Malaysia sering direndah-rendahkan oleh mereka.

Tahun 2010 menyaksikan sekali lagi bagaimana Malaysia dimalukan dengan jaringan 5-1. Tapi kekalahan itu tidak terus menghantui pasukan negara, malah mereka terus saja ‘low profile’ dan terus mendapat dokongan dari peminat dan Perdana Menteri sendiri.

Semasa di Jakarta menjelang perlawanan akhir tersebut, saya melihat sendiri bagaimana media Indonesia memainkan sentimen rakyatnya bukan untuk membina semangat kesukanan dan setiakawan. Apa yang dimainkan di saluran MetroTv ialah dengan memaparkan kes Ambalat, Sipadan Ligitan, penderaan pembantu rumah dan banyak lagi masalah yang melanda hubungan dua hala. Inilah yang sering menjadi masalah. Malah media mereka terus membenarkan pemanggil menggelarkan Malaysia sebagai negara ‘MALING’. Pemaling yang sering mencuri apa juga khazanah negara mereka seperti tarian pendet, angklung, batik, dan lagu-lagu mereka. Tapi yang pastinya, sudah banyak “MALING’ yang ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan adalah mereka yang menjadi maling dengan mencuri wang rakyat seperti kes Gayus Tambunan.  Tindakan seperti ini hanya menabur bibit-bibit kebencian dikalangan rakyat marhaen yang akhirnya mengeruhkan suasana.

Presiden SBY mengingatkan rakyatnya agar terus bersopan dan menjaga akhlak mereka ketika pusingan kedua nanti di GBK. Ini sangat bertepatan dengan waktunya kerana segelintir mereka pernah melontar najis ke Kedutaan Malaysia di Kuningan suatu ketika dulu. Sukan harus dilihat dan mesti dijadikan alat sebagai pemupuk semangat setiakawan di antara dua jiran yang tidak mungkin dipisahkan kerana saling memerlukan. Malah saya amat tertarik dengan kata-kata Presiden SBY yang boleh dianggap sebagai keramat: ” Kekalahan adalah kemenangan yang tertunda !” Itulah semangat seorang negarawan yang harus diikut dan dihayati oleh semua orang. Bukannya dengan mengapi-apikan marhaen yang tidak tahu apa-apa selain demonstrasi dan tindakan anarkis.

Semoga perlawanan akhir pusingan kedua nanti dapat memberi peluang untuk mengharmonikan jiwa antara dua negara. ‘Sporting Spirit’ harus ada bagi jiwa yang besar, bukannya dengan mempertontonkan kes-kes sensitif untuk mengharapkan sokongan murahan. Bahkan untuk mengurus penjualan tiket mereka di GBK juga mengalami masalah besar hingga menyebabkan penyokong bertindak liar dan anarkis. Bahkan, ketika menyanyikan Lagu Kebangsaan Negaraku juga, penyokong Indonesia harus beradab dan tidak menyanyikan lagu kebangsaan mereka.

Hikmahnya ialah, provokasi dan tindakan agresif tidak  menghasilkan hal yang positif. Kekalahan Malaysia pada pusingan awal merupakan sebuah kemenangan yang tertunda seperti yang dikatakan oleh Presiden SBY. Malah pasukan negara harus terus semangat dan berpegang kepada pesan Perdana Menteri Malaysia yang mahukan Harimau Malaya terus MEMBAHAM Garuda yang sudah terkulai kedua sayapnya di GBK nanti !